Perempuan
Perempuan.
Salah satu warna terbesar yang telah menjadikan hidup ini tidak pernah setona. Ada yang tidak pernah lelah memberi nyawa setiap kali aku mati. Ada yang tidak pernah hilang dalam memberiku mata untuk terus melihat. Ada yang tidak pernah penat memberiku hati yang penuh hati untukku terus merasa. Dan yang paling menggugah, ada yang tidak pernah gagal dalam terus memberiku nafas. Penyajak pertama yang aku kenal ialah dia sejak dia berkata "kita manusia bertuhan. perubahan warna kita di hadapan yang lain menandakan tahap empati (baca : iman) kita" sejurus selepas aku disyaki menghidap penyakit (baca: anugerah) bipolar dan split-personality. Pelukis pertama yang aku kenal ialah dia, sejak dia melukis pelan bayangan hidupku sambil berkata "kitakan hamba kepada tuhan kita, kerana itu kita harus merancang". Dan guru pertamaku juga dia, sejak dia mencium dahiku dan berkata "sekolah sebenar ada di luar pagar sekolah".
Aku masih ingat kata-katanya yang dipetik dari sebuah buku yang aku tak tahu, bahawa "hidup ini tiada yang absolut kecuali vodka".
Selepas itu ekonomi kami sekeluarga jatuh merudum. Air mata kami jatuh mengalir. Rupanya kami masih manusia & ia menjadikan kami lebih hidup dari dulu. Ternyata dalam sebuah bilik yang gelap, masih ada cahaya kerana aku sendiri masih mampu melihat wajahnya:
IBU.
Taufiq Azhar